Suspek LTTE Bukan Lagi Ahli PAS – Kelab Penyokong

KUALA LUMPUR – Ahli kelab penyokong PAS, US Subramaniam yang ditahan pihak polis atas dakwaan menyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) hanya menyertai ahli parti itu tidak sampai lima bulan.

Ketua Penerangan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pusat, G Balachandran berkata cubaan mengaitkan individu tersebut masih mempunyai kaitan dengan PAS hanya untuk memburukkan imej parti itu.

“US Subramaniam bukan lagi anggota DHPP. Dia sudah meletak jawatan pada 21 Mei 2018 selepas pilihan raya umum ke-14.

“Dia mula menyertai DHPP 14 Januari 2018. Kami ada surat peletakan jawatan beliau secara rasmi (sebagai ahli DHPP),” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Ketua DHPP N Balasubramaniam berkata Subramaniam memohon menyertai DHPP sebelum pilihan raya, bukannya diminta menyertai kelab penyokong PAS itu.

Katanya, DHPP juga tidak menyokong dan bersetuju dengan mana pihak yang menyokong LTTE di Malaysia.

“Kami banyak lagi kerja yang harus dilakukan untuk membangunkan sosioekonomi komuniti India dan kaum-kaum lain. Perjuangan LTTE tidak ada dalam senarai dan tidak releven untuk DHPP.

“Kami taat kepada Perlembagaan Malaysia. Kita percaya pada keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang undang,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, ahli DHPP hanya sayap penyokong PAS untuk orang bukan Islam dan tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam PAS pusat.

Terdahulu, media melaporkan salah seorang daripada 12 suspek penyokong LTTE merupakan ahli PAS.

Laporan itu berkata suspek adalah ahli DHPP dan sebelum itu menjadi ahli Parti Progresif Penduduk (PPP).

Semalam PAS menggesa kerajaan membentangkan satu kertas putih susulan penahanan 12 orang termasuk dan dua ADUN DAP yang dikaitkan dengan usaha menghidupkan semula LTTE di Malaysia.

Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan berkata dokumen itu perlu untuk mengetahui mengenai penyebaran ideologi, rangkaian organisasi dan kegiatan pihak disyaki terlibat dengan LTTE di Malaysia, yang turut dikaitkan dengan beberapa pemimpin politik tempatan.

Semua 12 individu itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang membenarkan penahanan tanpa bicara selama 28 hari. – FMT

Loading...