Suspek Bunuh, Simen Abang Direman 7 Hari

ALOR SETAR – Suspek kes bunuh seorang lelaki yang dimasukkan ke dalam tong air biru sebelum disimen dalam tong di tepi rumah kampung, direman tujuh hari untuk membantu siasatan.

Pendaftar Mahkamah Majistret Alor Star, Rashidah Azmi, meluluskan tempoh reman bermula hari ini sehingga 15 Mac depan terhadap suspek berusia 25 tahun itu untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, setakat ini punca kematian mangsa dipercayai akibat kesan hirisan pada leher si mati.

Beliau berkata, suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Dalam pada itu, sumber berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai sayangkan baju berkolar yang diberi teman wanitanya yang dipakai si mati iaitu abangnya pada hari kejadian.

Si mati juga dikatakan selalu memakai baju itu yang menjadi antara penyebab berlaku pertengkaran antara mereka.

“Difahamkan selepas kejadian, suspek dikatakan menanggalkan baju yang dipakai si mati dan mencucinya sebelum menggantung di dalam rumah berkenaan kerana terlalu “sayangkan” baju itu yang dianggap istimewa baginya.

“Bagaimanapun baju itu antara barangan yang dirampas untuk membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian semalam, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan polis berikutan penemuan tong air biru yang disimen yang dipercayai mengandungi mayat abangnya di tepi rumah mereka di Kampung Padang Hassan, Kepala Batas, Alor Setar.

Tong biru itu kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut.

Kejadian itu dipercayai berlaku Jumaat lalu apabila berlaku pertengkaran antara dua beradik itu menyebabkan si mati mengambil sebilah pisau pemotong daging, manakala suspek pula menggunakan penyapu untuk mempertahankan dirinya.

Bagaimanapun, si mati dipercayai rebah dan meninggal dunia akibat terkena libasan senjata tajam itu di lehernya sebelum suspek memasukkan mayat abangnya ke dalam tong dan menyimen sebelum mayat itu ditemui jam 7 pagi semalam. – BH Online