Suspek Bunuh Ibu & Buang Dalam Kumbahan Najis Disambung Reman

BALIK PULAU – Lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan wanita warga emas yang mayatnya ditemukan dalam lubang kumbahan najis di Kampung Sungai Burung, di sini Isnin lepas, disambung reman selama tujuh hari lagi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.A Anbalagan berkata tempoh reman lelaki berusia 29 tahun yang ditahan Selasa lepas itu tamat hari ini dan Mahkamah Majistret Balik Pulau membenarkan dia disambung reman sehingga 9 Oktober ini.

“Polis memohon untuk menyambung reman lelaki itu bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan dan selepas siap (kertas siasatan), kami akan serahkannya kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Mayat Faridah Hashim ditemukan menantu lelakinya pada 2.30 petang, 24 September lepas semasa mencari ibu mertuanya di sekeliling kawasan rumah, selepas wanita berusia 63 tahun itu dikatakan hilang sejak 19 September lalu dan anggota keluarganya membuat laporan polis berhubung kehilangan itu pada 21 September.

Polis dengan bantuan pihak bomba mengambil masa lebih dua jam untuk mengeluarkan mayat wanita itu yang sudah berulat dan hasil pemeriksaan awal pasukan forensik menemui kesan kelar di bahagian depan lehernya. – BERNAMA