Suri Rumah Cetus Kluster Jalan Menteri

KOTA KINABALU – Seorang suri rumah mencetuskan satu lagi kluster baharu di Sabah dikenali Kluster Jalan Menteri.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata jangkitan kluster itu merebak ke dua daerah iaitu Kota Kinabalu dan Penampang.

“Kluster Jalan Menteri di Kota Kinabalu dan Penampang merekodkan jumlah kumulatif sebanyak sembilan kes dengan dua kes didaftarkan di Kota Kinabalu, manakala baki tujuh kes di Penampang. 

“Kes indeks adalah suri rumah berusia 48 tahun yang disahkan positif COVID-19 pada 10 Mei lalu selepas mengalami gejala dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE).

“Saringan kontak rapat yang dijalankan oleh pasukan kawalan kemudian mendapati lapan lagi kes positif COVID-19. 

“Berdasarkan siasatan awal, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri mesyuarat keagamaan pada 28 April dan 5 Mei lalu di Tingkat 1, Pusat Paroki Gereja Sacred Heart, Jalan Menteri Kota Kinabalu. 

“Aktiviti kawalan dan pengesanan kontak masih giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, berkata jumlah kes harian COVID-19 semalam kekal mencatatkan kes dua angka.

“Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) jumlah kes positif baharu COVID-19 semalam adalah sebanyak 87 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 59,349 kes dan tiada kes kematian direkodkan.

“Jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital seramai 48 menjadikan jumlah kumulatif 58,216 orang. 

“Seramai 522 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 224 orang di hospital dan 298 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam,” katanya. – BH Online