Surah Al-Kahfi Bergema Di Masjid Putra

PUTRAJAYA – Masjid Putra, di sini hari ini bergema dengan bacaan Surah Al-Kahfi oleh lebih 1,000 peserta sempena Malaysia #QuranHour.

Program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

Malaysia #QuranHour diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan esok dan merupakan sebuah kempen ‘MengQurankan Bangsa dan Mengikhlaskan Ummah’ dengan mengajak rakyat dalam dan luar negara berinteraksi dengan al-Quran.

Selain Masjid Putra, penganjuran program tahun kelima itu turut diadakan di seluruh negara serta oleh rakyat Malaysia di luar negara.

Jelas penganjur, Surah Al-Kahfi dipilih menjadi surah tema yang membawakan panduan untuk menghadapi cabaran akhir zaman.

“Menjelang kemerdekaan negara ke-62, Surah Al-Kahfi akan terus dipasakkan sebagai pesan kemerdekaan berpandukan 10 ayat akhir surah ini dan kaitannya dengan 10 ayat awal.

“Daripada sini, terdapat sembilan pesan utama buat warga Malaysia yang merdeka agar berpegang teguh kepada nilai-nilai yang ada di dalam al-Quran,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr. Husamuddin Yaacub berkata, memasuki tahun kelima, gelombang #QuranHour dilihat bertambah besar.

“Kita bersyukur #QuranHour sudah memasuki Maajid Putra menjelang negara merayakan sambutan kemerdekaannya esok.

“Kita berharap #QuranHour menjadi sebuah agenda nasional melibatkan pelbagai pihak termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak-pihak berkepentingan,” katanya ketika berucap pada program itu.