‘Superman’ Beri Keterangan Lebih 6 jam, Serah Sijil Akademik

KUALA LUMPUR – Polis merakam keterangan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau, yang dikaitkan dengan komik “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama”, selama lebih enam jam hari ini dalam siasatan ke atas penerbitan buku yang didakwa berunsur propaganda itu.

Hari ini merupakan hari kedua Hew berada di Bukit Aman. Dia bersama tiga individu lain yang dipanggil untuk diambil keterangan tiba pada 2 petang tadi dan dilihat melangkah keluar pada 5.30 petang.

Kali pertama keterangannya diambil adalah pada Jumaat lepas.

Peguamnya, P Rajsurian berkata polis bersikap profesional sepanjang sesi hari ini, dan berkata anak guamnya ditanya mengenai peranan masing-masing dan latar belakang mereka.

Mereka juga diminta menyerahkan dokumen berkaitan penerbitan komik itu.

“Pihak polis juga meminta sijil berkaitan akademik Hew dan dokumen perbualan email berhubung penerbitan komik,” katanya.

Tiga individu selain Hew yang diminta ke Bukit Aman hari ini ialah pengurus syarikat percetakan, pelukis dan pengurus Muzium Kebudayaan Komik Asia.

Sementara itu, Hew memberitahu pemberita akaun Facebooknya ditutup bagi mengelakkan pergaduhan di media sosial.

“Saya akan tutup sampai siasatan selesai dan keadaan reda,” katanya.

Pada 18 Oktober, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin menyatakan laporan awal bahagian keselamatan kementerian mendapati terdapat perkara yang tidak betul dalam komik berkenaan, sekali gus wajar untuk tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang menerbit dan mengedarkan komik tersebut.

Baru-baru ini, media melaporkan komik itu dipercayai diedarkan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK). – FMT

Loading...