Suntikan Vaksin Pneumokokal Percuma Bayi Bermula Jun

IPOH – Suntikan vaksin pneumokokal secara percuma akan dilaksanakan bulan Jun tahun ini khusus bagi setiap bayi yang lahir mulai 1 Januari 2020.

Menurut timbalan menteri kesihatan, Dr. Lee Boon Chye, kementeriannya telah memperuntukkan RM60 juta bagi tujuan itu yang diumumkan dalam belanjawan 2020 sebelum ini.

“Untuk program pneumokokal, kerajaan telah peruntukkan RM60 juta untuk tahun ini dan kita masih dalam proses perolehan ubat tersebut supaya selepas perolehan akan diedar ke semua klinik dan hospital.

“Kita jangka pelaksanaannya akan bermula bulan Jun, jadi mereka yang layak adalah setiap bayi yang lahir 1 Januari 2020.

“Mereka akan terima ada yang tanya yang lahir sebelum itu macam mana, itu sebab tidak ada dalam bajet, tak ada ruang untuk berikan,” kata Boon Chye.

Lee berkata demikian selepas merasmikan program penyerahan alat perubatan lega kepada Klinik Kesihatan Gunung Rapat, Ipoh pada Jumaat.

Sebelum ini, media melaporkan pemberian vaksin secara percuma kepada semua kanak-kanak menerusi program imunisasi kebangsaan dikatakan dapat mengelakkan pelbagai jangkitan penyakit yang boleh membawa maut.

Penyakit pneumokokal disebabkan bakteria dikenali sebagai streptococcus pneumoniae yang boleh menyebabkan pelbagai jangkitan serius dan sering berlaku dalam kalangan golongan muda, warga emas dan mereka yang mengalami keadaan perubatan serius.

Ia termasuk jangkitan paru-paru, radang paru-paru, meningitis, jangkitan dalam darah, jangkitan sinus dan jangkitan telinga tengah.

Pemberian vaksin pneumokokal dilapor mampu menjimatkan kos perubatan kerajaan sehingga RM488 juta sekali gus menurunkan kadar kematian sehingga 792 kes dalam tempoh lima tahun.

Loading...