Suntikan Vaksin COVID-19 Pekerja Industri Rabu Ini

PUTRAJAYA – Kerajaan sudah mengaktifkan Fasa 4 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kawalan wabak di kawasan industri dengan pemberian vaksin kepada pekerja industri yang beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata ia adalah keputusan bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV).

Beliau berkata, satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) manakala program vaksinasi akan bermula lusa (16 Jun).

“Selepas ini, ia akan dibuka kepada sektor lain iaitu pembinaan, peladangan, peruncitan dan hospitaliti.

“Ia akan digerakkan secara berperingkat-peringkat bagi memastikan setiap sektor akan dapat dilindungi,” katanya pada sidang media Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba. – BH Online