Sungai Klang Dicemari Bahan Kimia

SHAH ALAM – Sungai Klang hari ini tercemar dengan pembuangan sisa disyaki bahan kimia oleh individu tidak bertanggungjawab.

Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Datuk Ir. Hashim Osman berkata, maklumat mengenai pencemaran itu diterima pihaknya kira-kira pukul 6 petang tadi.

Katanya, sepasukan anggota LUAS telah dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mengenalpasti sisa bahan kimia itu.

“Setakat ini, maklumat yang kita terima adalah bahan kimia itu dibuang di dalam sebuah longkang sebelum mengalir ke dalam Sungai Klang.

“Kita masih menyiasat termasuk keluasan pencemaran itu dan perkembangan terkini akan dimaklumkan nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Beliau menjelaskan, pencemaran itu tidak akan memberikan sebarang kesan terhadap tujuh empangan di sekitar Selangor.

Bagaimanapun, Hashim menegaskan ia berkemungkinan hanya akan memberi kesan terhadap haiwan ternakan sekitar sungai tersebut. – K! ONLINE

Loading...