Sumber Pembacaan Digital Jadi Gelanggang Sebar Berita Palsu

KUALA LUMPUR – Sumber pembacaan yang begitu banyak di dalam arus digital tanpa sekatan, boleh menjadi gelanggang untuk menyebar berita palsu dan lain-lain kandungan sehingga merosakkan masyarakat, kata Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau yang juga pemangku Menteri Pendidikan berkata di sinilah kerajaan dan semua pihak berdepan cabaran pembacaan hari ini dalam membezakan mana yang benar dan palsu, sama ada (kandungan bahan bacaan) yang dihasilkan melalui kajian atau yang dicipta secara picisan.

Katanya satu daripada cabaran dihadapi hari ini untuk menggalakkan budaya membaca adalah pengaruh digital ke atas masyarakat kerana pengaruh digital terhadap masyarakat begitu besar sehingga sumber pembacaan tradisional seperti surat khabar dan buku-buku semakin diketepikan.

“Banyak syarikat akhbar terpaksa gulung tikar kerana jualan merosot manakala buku-buku tinggal mengumpul debu di perpustakaan atau di atas rak. Namun begitu, ini tidak bermakna rakyat sudah berhenti membaca. Yang berubah ialah sumber pembacaan.

“Malahan, hari ini hampir kesemua akhbar mempunyai versi digital dan buku-buku juga diterbitkan secara digital. Dari segi itu, pembacaan masih kekal sebagai satu budaya,” katanya dalam ucapan sewaktu melancarkan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, dekat sini hari ini.

Menyentuh mengenai kepentingan budaya membaca, Dr. Mahathir menegaskan ia adalah suatu amalan pemerolehan dan pengukuhan ilmu pengetahuan yang merupakan asas kepada pembangunan diri manusia.

Jelas beliau, melalui amalan membaca seseorang itu bukan sahaja kaya dengan pelbagai ilmu pengetahuan, bahkan berkebolehan menyampaikan ilmu pengetahuan tersebut dengan baik dan berkesan.

Katanya dari segi sains, amalan membaca menjadi  satu daripada kaedah senaman dan latihan minda yang berkesan di samping berkeupayaan memperkuat rangkaian otak manusia serta mampu merangsang pembinaan rangkaian saraf yang baharu.

“Dan jika kita membaca sesuatu berulang kali, apa yang kita baca itu akan lebih lekat di dalam ingatan dan tidak mudah dilupakan. Pembacaan yang banyak juga dapat mempertingkatkan kecerdasan emosi (EQ) dan tahap kecerdasan intelektual (IQ) seseorang.

“Kedua-dua unsur kecerdasan ini amat penting bagi membolehkan seseorang itu menguasai pelbagai keadaan dan merebut peluang yang ada bagi pembangunan diri,” katanya.

Loading...