Sumbat Mayat Wanita Dalam Beg Pakaian

MAYAT seorang wanita disyaki dibunuh ditemukan dalam sebuah longkang di Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 27, Shah Alam, awal pagi tadi.

Mayat mangsa yang disumbat dalam beg pakaian ditemui orang awam kira-kira jam 6 pagi sebelum memaklumkannya kepada polis.

Menurut sumber, mayat berkenaan ditemui di dalam longkang sedalam lebih dua meter.

“Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lebih dari tiga hari berdasarkan keadaan mayat sudah berbau dan menggelembung.

“Identiti mangsa belum dapat dikenal pasti dan mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – myMetro Online