Sumbangan 1MDB Kepada Rakyat Malaysia

HAKIKAT bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selama ini telah banyak memberikan sumbangan besar kepada rakyat Malaysia adalah kenyataan yang perlu dipersetujui ramai.

Hatta daripada pihak pembangkang sekali pun perlu mengakui bahawa syarikat pelaburan strategik kerajaan Malaysia itu telah banyak memberikan sumbangan kepada negara kita tanpa disedari.

Namun disebabkan pembangkang mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, maka kebenaran berkenaan telah disembunyikan malah mereka sanggup menjadikan ia sebagai satu publisiti murahan.

Nama 1MDB bahkan telah ‘dibusukkan dan dijaja’ ke seluruh dunia, mujurlah ada pihak-pihak dan pemimpin yang rasional tidak terpedaya dengan cubaan pihak pembangkang tersebut.

Bukan itu sahaja, ia sampai ke tahap mempergunakan media asing waima suatu masa lalu Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menyatakan bahawa dalang asing akan bantu pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan.

Kenyataan Mahathir itu dibuatnya sendiri pada 1999, ketika beliau teruk digelar sebagai seorang pemimpin diktator yang masih memerintah negara kira-kira 19 tahun yang lalu.

Tetapi kini selepas menyertai blok pakatan pembangkang, rupa-rupanya apa yang beliau katakan itu dilakukannya sendiri untuk mencapai matlamat politik termasuk isu 1MDB.

Jadi di sini, disenaraikan beberapa sumbangan sepanjang hampir satu dekad 1MDB ditubuhkan sejak tahun 2009 sebagai renungan bersama untuk dinilai rakyat Malaysia:

Bandar Malaysia

Mungkin ada tidak sedar bahawa 1MDB telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan Malaysia, ia termasuk projek Bandar Malaysia seluas 202.3 hektar yang bakal menjadi pembangunan paling ikonik di negara ini.

1MDB terlibat dalam pembangunan projek Bandar Malaysia walaupun ditohmah oleh pembangkang dan ia merupakan satu penghargaan kepada syarikat terbabit.

Tun Razak Exhange

TRX City Sdn. Bhd. (TRX City)  kini menjadi tarikan pelbagai pelabur antarabangsa yang berminat  untuk membuat pelaburan mereka di pusat kewangan antarabangsa paling moden, Tun Razak Exchange (TRX).

Antaranya ialah HSBC Malaysia yang melibatkan pelaburan bernilai AS$250 juta (RM1.06 bilion) dan Lendlease yang turut membangunkan Lifestyle Quarters,  serta Mulia International Group yang membangunkan Signature Tower dan Veolia, iaitu syarikat kitar semula bagi sisa kumbahan.

Bak kata Perdana Menteri baru-baru ini, jika London boleh berbangga dengan Canary Wharf, Shanghai pula dengan Pudong, Singapura terkenal dengan Marina Bay, kini tiba masanya Kuala Lumpur berbangga dengan TRX.

Pengkalan Udara Sendayan

Selain itu, Pangkalan Udara Sendayan pula bakal menjadi pusat latihan terbesar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menyumbang kepada agenda transformasi utama dalam pembangunan rakyat dan negara.

Kawasan Sendayan yang sebelum ini merupakan kawasan Felda, bakal menjadi bandar satelit kepada Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Hasilnya penduduk di kawasan itu akan mengecap kualiti hidup lebih baik dan permintaan terhadap kediaman di kawasan itu akan melonjak naik.

Biasiswa 1MDB

Tidak ketinggalan adalah biasiswa 1MDB. Di sebalik tohmahan pembangkang, mereka terlupa bagaimana 1MDB sering membantu dalam membiayai pengajian anak-anak cemerlang dari keluarga miskin di negara ini.

Tidak ramai yang tahu selain Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara), 1MDB turut membantu dari segi menyediakan biasiswa tetapi orang tidak nampak perkara baik ini.

Apa yang mereka nampak ialah 1MDB kononnya banyak hutang hinggakan namanya diburukkan ke seluruh dunia. Tuduhan itu bukan sahaja tidak benar, bahkan hanya tohmahan jahat pembangkang semata mata.

Program Khas Haji 1MDB

Begitu juga dengan program haji yang ditaja oleh Yayasan 1MDB. Setiap tahun seramai 1,200 jemaah haji berpeluang ke tanah suci untuk melaksanakan ibadah fardu haji.

Mereka yang terpilih ini adalah terdiri daripada imam, ketua kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kese­lamatan Kampung (JKKK) dari seluruh negara yang tidak mampu mengerjakan ibadah itu.

Sejak mula dilaksanakan pada tahun 2011, program yang memasuki tahun kelapan penganjurannya itu telah menghantar seramai 5,711 orang menunaikan ibadah haji.

1MDB Pastikan Tiada Kenaikan Tarif Elektrik

Kerajaan melalui 1MDB mengekalkan kadar tarif elektrik bermula tahun depan hingga 2020. Malah pengguna di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pula, kadar sekarang iaitu 34.52 sen/kWj turut dikekalkan sehingga 30 Jun tahun depan.

Perkhabaran menggembirakan itu susulan penglibatan 1MDB dalam industri jana kuasa melalui pemilikan beberapa pengeluar tenaga bebas (IPP) yang sekaligus menamatkan penguasaan berat sebelah sejak zaman Mahathir.

Pembangunan Semua Masjid Jamek Kampung Bharu

1MDB turut membina semula Masjid Kampung Bharu di ibu negara dengan nilai RM20 juta. Pembangunan semula masjid dengan hampir keseluruhannya berwajah baharu itu ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan 1MDB.

Dewan solat utama Masjid Jamek Kampung Bharu dapat menampung jemaah kira-kira 8,000 orang pada satu-satu masa dan masjid berkenaan akan ikonik pembangunan Kampung Bharu. – MYNEWSHUB.CC