Rasuah, Fitnah Mampu Hancurkan Negara – Sultan Selangor

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi menzahirkan kebimbangan dengan peningkatan isu gejala rasuah dan penyebaran berita palsu berunsur fitnah dalam kalangan ahli politik serta penjawat awam.

Istana Alam Shah dalam satu hantaran menerusi laman sosial Facebook Selangor Royal Office hari ini menyatakan baginda menegaskan bahawa rasuah serta fitnah yang semakin berleluasa adalah musuh utama yang menular dalam masyarakat malah dikhuatiri mampu menghancurkan negara.

Menurut kenyataan itu, baginda juga mengingatkan khususnya orang Melayu, bahawa rasuah dan fitnah adalah perbuatan yang dilarang serta berdosa di sisi Islam.

“Baginda berpandangan bahawa rasuah dan fitnah juga menjadi punca perpecahan dalam situasi politik negara, seterusnya mencemar reputasi urus tadbir negara di peringkat antarabangsa.

“Ini terbukti dengan kejatuhan signifikan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia tahun lepas,” menurut kenyataan itu.

Istana Alam Shah menyatakan, baginda juga terkejut dengan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menunjukkan separuh daripada kes rasuah di negara ini melibatkan penjawat awam.

Justeru, baginda menyeru SPRM supaya terus bertugas bersungguh-sungguh untuk menghapuskan kegiatan tidak bermoral itu dan berharap pelaku rasuah dapat dibanteras serta diadili segera secara telus di mahkamah bersandarkan bukti kukuh bagi menjadi teladan kepada masyarakat.

Menurut kenyataan itu, Sultan Sharafuddin menasihatkan setiap rakyat supaya memainkan peranan menghentikan perbuatan rasuah yang boleh memusnahkan peradaban bangsa untuk jangka masa panjang.

Pada masa sama menurut kenyataan itu, baginda memuji langkah akhbar Sinar Harian yang berani tampil dengan laporan pelbagai perspektif mengenai realiti sebenar isu rasuah di Malaysia melalui segmen Rasuah Busters.

Istana Alam Shah menyatakan, Sultan Sharafuddin turut menegaskan bahawa suasana ketika ini diburukkan lagi dengan penyebaran berita palsu berunsur fitnah yang kian berleluasa dalam media sosial.

“Baginda tidak mahu kepincangan dan perpecahan yang berlaku dalam arena politik merebak hingga memecahbelahkan rakyat.

“Baginda menyeru rakyat berbilang kaum supaya terus bersatu padu dan bijak menepis anasir tidak baik khususnya rasuah serta fitnah demi kesejahteraan negara serta generasi akan datang,” tambah kenyataan berkenaan.

Istana Alam Shah menyatakan baginda percaya sekiranya rakyat bersatu, berkhidmat, berbakti serta melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh, negara pastinya akan terus maju. – BERNAMA