Sultan Perak Berangkat Ke PPV Stadium Indera Mulia

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan berangkat ke Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) di Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.

Ketibaan baginda pada jam 10.15 pagi tadi disambut oleh Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad, bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Keberangkatan baginda bertujuan melihat kesiapsiagaan, kelengkapan dan fasiliti PPV terbabit bagi melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Perak.

Baginda sangat prihatin akan kesejahteraan rakyat Perak, dan sentiasa mengikuti perkembangan program itu yang dijadualkan bermula pada 1 Mac ini.

Sementara itu, Saarani berkata, seramai 34,743 kakitangan barisan hadapan terdiri daripada petugas kesihatan, pertahanan dan perkhidmatan penting, akan menerima suntikan vaksin COVID-19 dalam fasa pertama pelaksanaan program berkenaan di Perak.

“Kerajaan Perak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas komitmen penuh agensi negeri dan Persekutuan dalam menjayakan pelaksanaan PPV di Stadium Indera Mulia.

“Ia meliputi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Kesihatan Perak, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Selain itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, serta Majlis Bandaraya Ipoh.

“Komitmen ini diharap dapat diteruskan dalam usaha memastikan kejayaan PPV di seluruh negeri,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 dalam laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) melalui pautan: www.vaksincovid.gov.my. – BH Online