Sultan Nazrin Tegur Mahkamah Jadi ‘Gelanggang Tegak Benang Basah’

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegur perlakuan sesetengah pihak yang menjadikan mahkamah sebagai gelanggang untuk menegakkan benang basah terhadap jenayah yang dilakukan.

Baginda bertitah, mereka yang telah melakukan pelbagai jenayah dan dosa ini termasuklah rasuah dan pecah amanah tergamak terus berbohong walaupun telah melafazkan sumpah dengan nama ALLAH untuk bercakap benar ketika bersoal jawab di kandang saksi.

“Perbuatan menipu, mencuri, menyeludup, pecah amanah, rasuah dan lari daripada membayar cukai, merupakan antara perlakuan jenayah terhadap organisasi, syarikat atau kerajaan.

“Perlakuan jenayah-jenayah tersebut turut memberikan implikasi perlakuan dosa terhadap pemegang kepentingan entiti-entiti berkaitan, sama ada mereka terdiri daripada pemegang saham, pemilik syarikat atau rakyat sesebuah negara.

“(Tetapi) sering terjadi ketika dihadapkan ke muka pengadilan, insan yang telah melakukan dosa itu, mencari pelbagai alasan dan menggunakan pelbagai hujah mahu menafikan perbuatan mereka yang telah melakukan dosa.

“Mereka bersedia membayar fi guaman yang tinggi yang sering kali pula dibiayai daripada wang yang diperoleh melalui sumber jenayah atau hasil daripada perlakuan dosa,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Hakim-hakim Syariah Negeri Perak dan Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Yang Dipertua MAIPk, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini.

Titah baginda, realiti yang berlaku hari ini memberikan gambaran bahawa masih ramai ummah yang belum menghayati ajaran Islam sepenuhnya hinggakan dosa sesama manusia itu dilakukan secara berterusan, berulang malah secara lebih berani.

“Malangnya ketika ini, oleh sebab Islam lebih dijadikan pakaian luaran, ramai insan tidak merasa takut melakukan dosa dan tidak berasa gentar untuk menghadapi seksa kubur dan azab neraka.

“Setiap insan yang melakukan dosa boleh menipu hakim, mahkamah, peguam, masyarakat dan orang ramai, tetapi mereka tidak boleh menipu dirinya dan tidak boleh menipu ALLAH Subhanahu Wata’ala.

“Meskipun secara zahir terlepas daripada hukuman di dunia, tetapi tidak dapat lari daripada diadili di Mahkamah Rabul Jalil pada hari kebangkitan nanti,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut bertitah, perbuatan jenayah tidak dapat dikurangkan melalui penambahan pegawai penguat kuasa, mahkamah mahupun penjara.

Sebaliknya titah baginda, ia lebih berkesan ditangani melalui pendekatan menyemaikan nilai-nilai Islam sehingga meresap dan benar-benar dihayati dalam jiwa setiap insan yang menyedari bahawa pada setiap masa Malaikat Raqib dan Atid yang juga disebut Kiraman-Katibin ditugaskan untuk mencatat setiap perbuatan.

“Insan yang berjaya dididik menghayati ajaran Islam akan berasa tersangat takut untuk melakukan dosa. Apabila lebih ramai insan menghindarkan diri daripada melakukan dosa, kejadian jenayah akan menurun dan beban kerja di mahkamah akan bertambah ringan.

“(Maka) pendekatan pencegahan, menerapkan nilai-nilai Islam secara berkesan, merupakan pendekatan yang wajib diberikan fokus dan angka jenayah yang rendah hendaklah dijadikan pengukur kejayaan pendidikan dan penerapan nilai-nilai Islam,” titah baginda.

Dalam majlis berkenaan Sultan Nazrin memberi perkenan pelantikan semua Hakim Syariah Mahkamah Utama, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi Negeri Perak.

Baginda turut memperkenan buat pertama kalinya, lantikan dua individu mewakili belia iaitu seorang lelaki dan seorang wanita, sebagai anggota MAIPk. – Sinar Harian