Sultan Nazrin Sampaikan 32 Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Perak

IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan berangkat ke majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam peringkat negeri Perak tahun 2018.

Turut berangkat ke majlis yang diadakan di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim. Hadir sama Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.

Pada penganjuran majlis kali ketujuh itu, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan 32 anugerah kecemerlangan meliputi pelbagai peringkat pendidikan antaranya Sekolah Rendah Agama Rakyat dan Sekolah Menengah Agama Negeri.

Sultan Nazrin juga berkenan melancarkan Modul Fiqh Kesihatan (Aiman) dan Buku Hadith Nailul Marram Fi Ghazawati Khairil Anam hasil usaha Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Sementara itu, Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin ketika ditemui berkata Modul Fiqh Kesihatan itu adalah yang pertama seumpamanya dalam negara dan pelaksanaannya akan dibuat di semua masjid serta surau seluruh negeri secara berperingkat.

“JAIPk akan mohon kerjasama Jabatan Kesihatan negeri bagaimana membentuk orang yang mahir mengajar di masjid (penceramah) untuk bercerita tentang konsep kesihatan kerana hendak buat ibadah biarlah sihat,” katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut.

Mengenai buku hadis pula, Mohd Yusop berkata ia menghimpunkan kira-kira 300 hadis berkaitan konsep sebenar jihad dalam Islam.

Pada masa sama katanya, penghasilan buku tersebut bertujuan menangani salah tanggapan masyarakat mengenai jihad yang kadangkala membawa kepada pelakuan ekstrem termasuk menjadi pengebom bunuh diri.

“Kita hendak ubah persepsi masyarakat mengenai jihad. Jihad bukan sahaja perang, tapi (macam-macam) seperti membasmi kemiskinan,” katanya. – BERNAMA

Loading...