Sultan Nazrin Perkenan Saarani Sebagai MB Perak

IPOH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad dijadual mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baharu esok. 

Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Kolonel Datuk Abd Rahim Mohamad Nor, dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Kenyataan itu dibaca Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini di pekarangan Istana Kinta, di sini.

Melalui kenyataan itu, Abd Rahim memaklumkan, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, sudah memberi perkenan kepada ADUN Kota Tampan itu sebagai Menteri Besar baharu. 

Justeru, majlis angkat sumpah Menteri Besar Perak yang baharu akan berlangsung esok jam 11 pagi di Istana Iskandariah, di Kuala Kangsar. – BH Online