Sultan Muhammad V Solat Jumaat Di Surau Menara TM

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan berangkat menunaikan solat fardu Jumaat di Surau Menara TM di sini, hari ini.

Seri Paduka menunaikan solat berkenaan bersama-sama Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki serta lebih 4,000 jemaah lain.

Solat Jumaat itu diimamkan oleh Ustaz Shah Reza Kamarozaman yang turut menyampaikan khutbah bertajuk ‘Menginsafi Azabnya Neraka’.

Dalam khutbah itu, beliau berkata meskipun jumlah penduduk dunia sejak Nabi Adam AS sangat ramai namun, neraka ciptaan Allah SWT tidak pernah mengenal erti penuh.

“Azab neraka menjadi peringatan kepada kita agar berhati-hati dalam melaksanakan pekerjaan dan amalan seharian. Golongan manusia yang bakal menjadi penghuni neraka terbahagi kepada tiga golongan.

“Golongan pertama ialah manusia yang degil dengan kekufurannya, kedua ialah golongan manusia yang sering menghalang kebaikan, melanggar hukum agama dan meragukan kebenaran dan golongan ketiga ialah manusia yang menyembah selain daripada Allah SWT,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan jemaah supaya mengambil pengajaran daripada hukuman neraka iaitu setiap amalan buruk yang dilakukan oleh manusia di bumi ini akan mendapat balasan azab di akhirat kelak. – BERNAMA

Loading...