Sultan Muhammad V Muncul Di Khalayak Umum

KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-14 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Ini kali pertama baginda muncul di khalayak umum selepas meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuat-kuasa 6 Januari lalu.

Keberangkatan tiba Sultan Muhammad V disambut Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah; Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub serta barisan pemimpin negeri.

Turut berkenan mencemar duli ke istiadat tersebut, Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-Iz Petra.

Pembukaan DUN bagi penggal ini agak unik apabila berlangsung serba ringkas tanpa istiadat perbarisan Pasukan Kawalan Kehormatan seperti biasa.

Malah, Sultan Muhammad V juga tidak bertitah panjang kecuali berkenan merasmikan istiadat tersebut semata-mata sebelum mencemar duli bergambar bersama barisan Exco Kerajaan PAS Kelantan, pembesar negeri serta wakil-wakil rakyat.

Sementara itu, Mohd. Amar ketika ditemui pemberita berkata, upacara ringkas tanpa perbarisan Pasukan Kawalan Kehormatan dalam istiadat pembukaan DUN kali ini merupakan atas arahan baginda Sultan Kelantan sendiri.

“Semalam baginda bertitah supaya tidak diadakan perbarisan kerana mengambil kira keadaan cuaca panas melanda negara sekarang.

“Kalau ada perbarisan, Pasukan Kawalan Kehormatan perlu bersedia lebih awal dalam keadaan cuaca panas, jadi untuk elak timbul apa-apa masalah, Tuanku bertitah begitu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...