Sultan Kedah Ke Istiadat Pertukaran Panji RAMD

KUALA LUMPUR – Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah berkenan berangkat mencemar duli ke Istiadat Perbarisan Pertukaran Panji-panji Rejimen Batalion Pertama dan Batalion Ketujuh, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di sini, hari ini.

Baginda selaku Kolonel Yang Dipertua RAMD berangkat tiba ke istiadat itu sempena sambutan Ulang Tahun RAMD ke-85, hari ini yang berlangsung di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi di sini.

“Panji-panji yang akan dianugerahkan kepada batalion pertama RAMD pagi ini merupakan pertukaran kelima manakala bagi batalion ketujuh, merupakan pertukaran kedua setelah pertukaran kali pertama disempurnakan oleh kekanda beta Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah pada 1 Okt 1984 di Padang Kawad Kem Lok Kawi di Sabah,” titah baginda pada istiadat itu.

“Sejak penubuhan Batalion Pertama pada 1 Jan 1938 di Port Dickson, batalion ini mengharungi pelbagai peristiwa pahit dan getir dalam mempertahankan negara terutama di Pasir Panjang semasa Perang Dunia Kedua.

“Batalion Ketujuh pula ditubuhkan pada 23 Okt 1953 dan telah banyak mencurahkan jasa dan pengorbanan semasa menggempur pengganas Komunis di segenap penjuru tanah air suatu ketika dahulu. Oleh itu, tahniah daripada Beta kepada kedua-dua pasukan,” titah baginda.

Turut berangkat Raja Muda Kedah Tengku Sarafuddin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Salehuddin. Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia(ATM) mewakili Panglima Angkatan Tentera Left Jeneral Datuk Kamarulzaman Mohd Othman juga hadir.

Titah baginda, matlamat penganugerahan atau pertukaran panji-panji ini adalah sebagai pengurniaan tertinggi bagi menghargai perkhidmatan dan kesetiaan yang ditunjukkan oleh batalion-batalion ini kepada raja dan negara.

Baginda juga percaya penganugerahan panji-panji pada hari ini akan menjadi denyut nadi kepada seluruh warga kedua-dua pasukan untuk terus mencurahkan kesetiaan dan khidmat bakti dengan lebih cemerlang dan terbilang.

Upacara pentauliahan panji-panji rejimen disempurnakan oleh baginda sendiri selaku Kolonel Yang Dipertua RAMD menerusi acara tepung tawar panji-panji sebagai simbolik pentauliahan panji-panji baharu diikuti lafaz ikrar panji-panji serta penyampaian Watikah Ikrar kepada Kolonel Yang Dipertua RAMD.

Panji-panji rejimen yang baharu ini kemudian diarak dan diperkenalkan kepada pegawai-pegawai dan perajurit sebagai satu tradisi bagi memastikan setiap pegawai dan perajurit mengenali panji-panji keagungan mereka. – BERNAMA

Loading...