Sultan Johor, TMJ Penuhi Hasrat Muhammad Hazreel

KUALA LUMPUR – Hasrat seorang kanak-kanak yang mengidap penyakit kulit genetik sejak kecil, Muhammad Hazreel Mikail Hizar, 5, mahu bertemu dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi kenyataan hari ini.

Lebih bertuah buat kanak-kanak yang menetap di di Bandar Seri Alam, Masai, Johor itu kerana Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut berkenan mengunjungi Muhammad Hazreel Mikail Hizar di rumah keluarganya.

TMJ2

Muhammad Hazreel dilaporkan terlalu mengagumi dan meminati Tunku Ismail selaku pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Sultan Johor dan Tunku Mahkota Johor serta diiringi Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim berkenan melawat adik Muhammad Hazreel yang menghidap penyakit kulit genetik sejak kecil.

TMJ3

“Tunku Mahkota Johor berkenan menunaikan hasrat Muhammad Hazreel yang dilaporkan amat teringin untuk bertemu dengan baginda,” kata laman Facebook rasmi JDT hari ini.

Menurut laman Facebook berkenaan, Muhammad Hazreel merupakan peminat cilik setia kelab JDT, tetapi terpaksa melupakan hasratnya untuk menonton perlawanan di stadium atas sebab kesihatan yang tidak boleh bersesak dengan orang ramai.

Kata laman Facebook itu, kanak-kanak tersebut hanya dapat menonton di kaca televisyen rumah atau dilayar gergasi sahaja menyebabkan Tunku Mahkota Johor berasa teruja untuk bertemu dengannya.

“Selain dari barangan cenderahati, Sultan Johor dan Tunku Mahkota Johor turut mengurniakan sumbangan buat keluarga Muhammad Hazreel bagi menampung perbelanjaan perubatannya,” kata laman Facebook berkenaan. – mynewshub.cc

Loading...