Sultan Johor Terima Hadiah Wang Nombor Tarikh Lahir

HARI ini warga Johor bukan sahaja ceria apabila pusat pentadbiran kerajaan negerinya, Iskandar Puteri dimasyhurkan sebagai sebuah bandar raya kedua selepas ibu negerinya, Johor Bahru.

Malah lebih istimewa tarikh 22 November dipilih kerana secara kebetulan merupakan ulang tahun ke-59 keputeraan Sultan Johor sendiri, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar sejak menaiki takhta pada 2010 lalu.

Bersempena peristiwa bersejarah itu, pengurusan tertinggi Hongkong and Shanghai Banking Corporation Holdings PLC (HSBC), diketuai Ketua Pegawai Kumpulan, Stuart Gulliver melakukan kunjungan hormat terhadap baginda.

Pada pertemuan yang berlangsung ringkas diĀ Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru itu, delegasi HSBC seramai lima orang tersebut turut menyampaikan koleksi berupa wang kertas HK$20, HK$50, HK$100, HK$500 dan HK$1,000.

Apa yang menarik kesemua mata wang terbaharu dolar Hong Kong berkenaan tertera jelas nombor siri cetakan 221158 dan juga secara kebetulan merupakan tarikh keputeraan Sultan Ibrahim sendiri iaitu 22 November 1958.

Tetamu kehormat itu kemudian diraikan dalam majlis santapan bersama-sama baginda. Berita kunjungan khas itu turut dimuat naik menerusi akaun Facebook rasmi Sultan Johor pada jam 5 petang dengan lima foto eksklusif.

Ia berjaya menerima reaksi luar biasa ramai netizen apabila setakat jam 9 malam sudah dikongsi 110 kali dan mendapat 1,800 tanda suka selain puluhan komen yang turut mengucapkan tahniah atas hadiah istimewa tersebut.

Untuk rekod, Hong Kong yang merupakan wilayah pentadbiran khas China selepas tamat tempoh pajakan 99 tahun sebagai pulau jajahan British pada 1997, diberi hak eksklusif untuk tidak mengguna mata wang tanah besar yuan.

Sebaliknya ia memakai dolar Hong Kong tetapi uniknya seperti mana pound sterling Britain, mata wang tempatan itu dicetak tiga bank komersial iaitu HSBC, Bank of China Hong Kong dan Standard Chartered Bank Hong Kong.

Bagaimanapun hanya wang kertas HK$10 dicetak oleh agensi kerajaan iaitu Hong Kong Monetary Authority yang turut mengeluarkan duit syiling 10 cent, 20 cent, 50 cent, HK$1, HK$2, HK$5 dan HK$10. – Mynewshub.cc/HAA

* Video bawah sekadar hiasan mengenai sejarah mata wang Hong Kong

Loading...