Sultan Johor Sumbang RM4 Juta Kepada FAM

KUALA LUMPUR – Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyumbang sebanyak RM4 juta kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dalam satu kenyataan semalam, sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada pemberian bonus kepada pasukan kebangsaan Bawah 22.

Ini setelah pasukan tersebut berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Kejuaraan Bawah 23 Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) 2018 di China.

“Kurniaan ini juga dapat membantu FAM dalam pembangunan sukan bola sepak tanah air secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan itu.

Skuad B-22 negara bimbingan Datuk Ong Kim Swee mempamerkan prestasi cemerlang di pusingan kelayakan yang berlangsung di Bangkok, Thailand Julai lalu apabila muncul juara Kumpulan H dengan mengutip enam mata.

FAM kini diterajui oleh anakanda baginda yang juga Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengambil alih jawatan presiden sejak 25 Mac lalu.

Terdahulu, FAM menjanjikan ganjaran misteri kepada pemain skuad B-22 negara selepas melakar kejayaan di Thailand dalam aksi kelayakan peringkat kumpulan H, Kejuaraan B-23 AFC 2018.

– BERNAMA

Loading...