Sultan Johor Sertai Rakyat Rai Sambutan Chap Goh Mei

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berangkat mencemar duli menyertai kira-kira 3,000 rakyat negeri ini meraikan sambutan Chap Goh Mei anjuran Iskandar Waterfront Holdings Group (IWHG) di Pusat Konvensyen Danga, di sini.

Baginda yang tiba di pusat itu pada kira-kira 11.20 pagi disambut Naib Pengerusi Eksekutif IWHG, Tan Sri Lim Kang Ho dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong.

Turut hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Amran A Rahman dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Terdahulu, baginda turut menyertai Lim, Tee serta barisan dif kehormat untuk sama-sama menggaul Yee Sang sebagai acara simbolik menyambut Tahun Baharu.

Sambutan Chap Goh Mei kumpulan itu turut diserikan dengan persembahan tarian tradisional masyarakat Cina, persembahan gendang serta nyanyian artis undangan.

Baginda berangkat pulang selepas meluangkan masa kira-kira sejam pada sambutan itu. – BERNAMA

Loading...