Sultan Johor Murka Portal Singapura Siar Berita Palsu

TAMPAKNYA gejala berita palsu sudah tidak ada batas. Terbaharu, nama Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail turut diseret pihak tertentu untuk cetus persepsi negatif terhadap kerajaan.

Ini mencetuskan kemurkaan oleh Sultan Johor sendiri, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar malahan bertitah mahu pihak polis agar menyiasat dan mengesan dalang berita palsu itu yang berpangkalan di Singapura.

Ia gara-gara penyebaran tular berita TMJ yang diputar seolah-olah baginda ada mengulas serta mengkritik Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz dalam isunya dengan taikun bisnes terkemuka, Robert Kuok.

“Ia berita palsu. Beta sangat murka dengan berita ini,” titah baginda kepada akhbar The Star pada Rabu sebagai merujuk laporan portal The Independent dengan tajuk Johor Crown Prince Chides No Balls Malaysian Minister.

Sultan Ibrahim seterusnya dipetik harian berbahasa Inggeris itu mengingatkan bahawa adalah menjadi kesalahan agak serius apabila pihak tertentu sengaja mempergunakan nama Istana Johor untuk sebar berita palsu sedemikian.

Mengulas dengan lebih lanjut, Sultan Johor juga mengingatkan rakyat agar lebih berhati-hati terhadap penularan berita palsu kerana ia mungkin lebih kerap berlaku menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Baginda menerusi titah secara eksklusif dengan akhbar tempatan itu turut berharap supaya rakyat akan sentiasa periksa dan sahkan sumber maklumat serta tidak sekadar hantar semula atau kongsi berita kepada pihak lain.

Peringatan Sultan Johor tersebut sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong sendiri sewaktu merasmikan sidang Parlimen pada Isnin menyuarakan sokongan langkah kerajaan mengubal undang-undang tangani berita palsu.

Kelmarin, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli meminta semua pihak agar berhenti daripada cuba mengaitkan pula Sultan Johor dan anakanda baginda dengan isu politik tempatan.

Beliau mengutuk sekeras-kerasnya dengan tindakan laman sesawang The Independent dari Singapura yang telah memutarbelitkan kenyataan lama daripada TMJ pada 2015 lalu berhubung isu politik antara Nazri dan Kuok.

“DYAM Tunku Mahkota Johor tidak pernah langsung memberikan kenyataan mengenai isu tersebut,” tegas Abdul Rahim sebagai merujuk artikel daripada portal negara jiran tersebut yang disiarkan pada 5 Mac lalu.

Katanya segala kenyataan yang dibuat daripada Sultan Johor dan TMJ hanya akan dikeluarkan oleh laman rasmi The Royal Johor (atau Royal Press Office), laman rasmi JOHOR Southern Tigers dan juga akhbar The Star.

Jika ada kenyataan daripada sumber luar selain daripada itu, ia adalah tidak benar sama sekali. Dalam pada itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd mengesahkan kes tersebut sedang disiasat oleh pihaknya.

Ia susulan laporan polis yang dibuat pada 6 Mac lalu. Kes berkenaan bakal disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komuikasi dan Multimedia 1998. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...