Sultan Johor Minta Keputusan Rakyat Dihormati

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, meminta semua pihak supaya menghormati keputusan rakyat yang mahukan kerajaan baharu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Justeru, baginda bertitah supaya kerajaan baharu dapat dibentuk segera, termasuk melantik perdana menteri secepat mungkin, tanpa membuang masa lagi.

Melalui satu video yang dimuat naik dalam laman Facebook rasminya itu, baginda menyifatkan perkara tersebut perlu dilakukan demi kepentingan rakyat.

“Kepada semua rakyat Johor, Bangsa Johor, pilihan raya sudah pun berlaku, saya minta semua menghormati suara rakyat yang mana rakyat hendak kerajaan yang baharu.

“Dengan ini saya meminta kerajaan dilantik serta merta dan jangan buang masa lagi. Saya harap Istana Negara hari ini juga melantik Perdana Menteri yang baharu kerana ini adalah kepentingan rakyat, bukan kepentingan saya atau individu.

“Saya harap perkara ini sampai ke seluruh rakyat Johor dan Malaysia yang mana saya cintai. Terima kasih,” titah baginda dalam video tersebut di sini, hari ini.

Selain itu, Sultan Johor turut mengucapkan tahniah kepada semua parti yang telah berjaya menepati sasaran mereka pada PRU14 ini.

Dalam pada itu, keputusan PRU14 di Johor menyaksikan Pakatan Harapan memenangi 36 daripada 56 kerusi negeri, sekali gus memberi laluan selesa kepada parti itu membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Barisan Nasional (BN) Johor sekadar memenangi 19 kerusi manakala PAS, satu kerusi sahaja.

Daripada 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, BN hanya memenangi lapan kerusi iaitu Pengerang, Kota Tinggi, Mersing, Ayer Hitam, Parit Sulong, Pontian, Sembrong dan Tenggara.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata seluruh jentera parti termasuk sukarelawan dan penyokong telah berusaha sebaik mungkin untuk berkhidmat kepada rakyat, namun, suara demokrasi rakyat harus dihormati sebaiknya.

“Suara demokratik rakyat harus dihormati sebaiknya. Kita komited untuk hormati keputusan ini.

“Selamat maju jaya kerajaan Johor baharu semoga kerajaan baharu dapat beri yang terbaik untuk bangsa Johor,” ujarnya dalam satu sidang media di Bangunan UMNO Johor, pagi tadi. – MNEWSHUB.CC/EZ

Loading...