Sultan Johor Mahu Exco Baharu Bekerja Satu Pasukan

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mahu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang baharu dilantik bekerja dalam satu pasukan demi kepentingan rakyat.

Baginda bertitah, barisan EXCO perlu sentiasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik.

“Bekerjasama sebagai satu pasukan dalam memastikan ekonomi dan kepentingan negeri Johor sentiasa terpelihara.

“Anda semua berperanan untuk menyatupadukan semula rakyat demi kesejahteraan dan kemakmuran negeri ini,” titah baginda pada Majlis Istiadat Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru, pagi tadi.

Titah Sultan Ibrahim itu dimuat naik di Facebook rasmi baginda.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim. Turut berangkat, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Pagi tadi, 10 EXCO mengangkat sumpah di hadapan Sultan Ibrahim di Istana Bukit Serene membabitkan Datuk Samsolbari Jamali (BN-Semarang); Ayub Jamil (BN-Rengit), Zaiton Ismail (BN-Sungai Balang); Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN-Layang-Layang) dan R Vidyananthan (BN-Kahang).

Turut mengangkat sumpah, Mazlan Bujang (BERSATU-Puteri Wangsa), Mohd Solihan Badri (BERSATU-Tenang); Tosrin Jarvanthi (BERSATU-Bukit Permai), Mohd Izhar Ahmad (BERSATU-Larkin) dan Dr Chong Fat Full (Bebas- Pemanis). – BH Online

Loading...