Sultan Johor Kurnia Tanah Bina 1,000 Rumah RM70K

PRIHATIN… Tidak sampai 24 jam tokoh hartanah bumiputera Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar dedah boleh bina rumah berharga RM80,000 seunit di bandar, Sultan Johor tampil sokong idea itu.

Malahan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam berkenan mengurniakan tanah seluas 60 hektar milik baginda sendiri untuk didirikan sejumlah 1,000 unit rumah kos rendah dengan harga bermula daripada RM70,000 seunit.

Kawasan itu akan dilengkapi dengan kemudahan asas demi keselesaan rakyat. Khabar gembira itu disampaikan oleh anakandanya Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman sosial Facebook rasminya.

“Minggu depan, saya akan melancarkan satu upacara pecah tanah milik Sultan Johor, ia selepas baginda berkenaan mengurniakan tanah untuk membina rumah mampu milik dengan harga bermula RM70,000,” titahnya lagi.

Semalam, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan EMKAY ketika ditemui pihak media di Menara Mustapha Kamal di Petaling Jaya sempena sambutan ulang tahun ke-35 syarikat itu, berkata harga tersebut tidak mustahil.

“Jika berjaya direalisasikan, majoriti rakyat di negara ini boleh memiliki rumah. Saya letak harga dalam lingkungan RM70,000 kerana inilah tahap kemampuan bagi mereka yang bergaji antara RM1,800 hingga RM2,000,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas lebih lanjut, Tunku Ismail bertitah, sumbangan tersebut direalisasikan setelah dirinya sendiri turun padang dan mendengar sendiri rintihan rakyat Johor menerusi beberapa lawatan yang dilakukan.

Titah baginda lagi, sumbangan diberikan kepada rakyat negeri itu juga tidak berniat apa-apa bahkan boleh dianggap sebagai tanggungjawab prihatin yang perlu dipenuhi sebagai Tunku Mahkota Johor dan anggota kerabat diraja.

“Sumbangan keluarga diraja Johor kepada rakyat bukan baru minggu lepas tetapi sejak zaman nenek moyang saya lagi iaitu pada tahun 1885. Saya cuma meneruskan legasi semua almarhum Sultan Johor dan juga ayahanda saya.

“Suka saya nyatakan bahawa ini bukan tindakan aneh tetapi ia adalah tugas, amanah dan tanggungjawab saya sebagai Tunku Mahkota Johor. Saya melakukan kerja ini ikhlas demi kesejahteraan rakyat saya,” titahnya.

Loading...