Sultan Johor Kurnia DMIJ Kepada Sukarelawan

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan mengurniakan Darjah Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) kepada seorang sukarelawan, Sabariah Hussein, yang membawa gelaran Datin Paduka.

Turut menerima pingat sama ialah Pegawai Kewangan Negeri Johor, A. Rahim Nin yang membawa gelaran Datuk (untuk lelaki).

Majlis penganugerahan berlangsung di Balai Menghadap, Istana Bukit Serene, di sini hari ini. Berangkat sama ke istiadat pengurniaan pingat itu, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.

Sabariah, 71, yang mesra dengan panggilan Sister Sabria merupakan anak kelahiran Wadihana di sini, adalah sukarelawan yang aktif di Montreal, Kanada.

Beliau melakukan kerja amal membantu gelandangan dan individu kurang bernasib baik selama lebih 20 tahun di negara itu.

Sabariah menetap di negara berkenaan selepas berkahwin dengan seorang rakyat tempatan sebaik menamatkan pelajaran dalam bidang kulinari di Kuala Lumpur.

Beliau turut menubuhkan Yayasan Sister Sabria dan Pusat Perlindungan Wanita yang digelar ‘Our Second Home’ dengan sebahagian besar dana yang diperoleh beliau adalah daripada jualan makanan pada hari Jumaat di kawasan masjid di negara itu.

Sementara itu, A.Rahim, 57, dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri Johor berkuat kuasa 20 Oktober tahun lepas menggantikan Mohd Nasir Abd Salam yang bersara pada tarikh sama.

A Rahim sebelum itu memegang jawatan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang ke-10 bermula Ogos 2015 selepas berkhidmat sebagai Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN). – BERNAMA

Loading...