Sultan Johor Hadiah Kereta Kepada Pengarah Hospital, Doktor

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini mengurniakan kereta kepada Pengarah Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan kakitangan Wad Diraja HSA. 

Ia selepas baginda mengurniakan kereta Myvi kepada 10 Jururawat Wad Diraja HSA pada September lalu.

Menerusi hantaran di Facebook, Sultan Ibrahim bertitah, pengurniaan itu adalah sebagai penghargaan atas dedikasi, komitmen serta profesionalisme yang tinggi dalam perkhidmatan mereka.

Baca: Banyak Manfaat Bakal Diraih Malaysia Melalui RCEP

Antara yang menerima kenderaan kurniaan baginda itu ialah Pengarah HSA, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad; Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan & Trauma, Dr Ismail Jumali dan Pegawai Perubatan Unit Kardiotorasik Anestesia, Dr Mohd Firdaus Shamsuddin, yang masing-masing menerima sebuah Proton X70. 

Manakala Ketua Penyelia Jururawat, Sarinah Sukor dan Penyelia Jururawat, Fauziah Sulaiman masing-masing menerima sebuah Perodua Myvi. 

Kenderaan diserahkan oleh Datuk Perdana Dalam, Kolonel (B) Datuk Mohamed Perang Musa selaku wakil Sultan Ibrahim. 

Dr Mohtar berkata, pihaknya menjunjung kasih kurniaan kereta yang dihadiahkan Sultan Johor. 

“Patik memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT dan menjunjung setinggi-tinggi kasih atas kurniaan baginda ini kepada patik dan kakitangan HSA. 

“Patik mendoakan Tuanku serta Kerabat Diraja sentiasa sihat sejahtera. Insya Allah, kami akan terus berikan perkhidmatan terbaik kepada Tuanku sekeluarga serta rakyat jelata,” katanya. – BH Online