Sultan Johor Beri Perkenan Pembinaan Jajaran Jambatan

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah memberi perkenan terhadap pembinaan jajaran jambatan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) setinggi 25 meter yang akan merentasi Selat Johor secara lurus bagi menghubungkan Woodlands, Singapura ke Bukit Chagar, di sini.

Baginda memberi perkenan itu ketika menerima menghadap Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Mohd. Azharuddin Mat Sah bersama pegawai-pegawai kanannya di Istana Bukit Pelangi, di sini, Rabu lepas.

Sesi menghadap itu adalah untuk mengemukakan tiga pilihan jajaran bagi projek RTS setelah mengambil kira cadangan Sultan Ibrahim ketika pertemuan SPAD bersama baginda pada 19 September lalu.

“Sultan telah memberi perkenan bagi jajaran jambatan setinggi 25m yang akan merentasi Selat Johor secara lurus. Jajaran ini mematuhi panduan teknikal Jabatan Laut Malaysia yang menetapkan had ketinggian jambatan bersama drauf udara minimum 25m,” kata SPAD dalam kenyataan di sini, hari ini.

SPAD berkata Sultan Ibrahim juga menekankan kepentingan memastikan penyuraian trafik di kawasan stesen RTS Bukit Chagar dalam sesi itu dan pihaknya akan mengambil tindakan terhadap perkara tersebut.

“Suruhanjaya ingin merakamkan setinggi-tinggi perhargaan kepada Sultan atas sokongan dan perkenan bagi projek RTS ini. SPAD juga ingin merakamkan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan atas kepimpinan dan bimbingan beliau dalam projek RTS,” katanya.

Sebelum ini, baginda dilaporkan tidak bersetuju dengan cadangan reka bentuk trek rel yang melengkung, selain jambatannya yang mungkin mencapai ketinggian 30 meter di bahagian tengahnya.

Pembinaan RTS dicadangkan pada Mei 2010 sebagai alternatif kepada 80,000 hingga 100,000 pengguna Tambak Johor setiap hari.

Apabila siap, RTS mampu menampung pergerakan sehingga 10,000 penumpang setiap jam antara dua stesen di Woodlands dan Bukit Chagar. – BERNAMA

Loading...