Sultan Johor Berehat Lepas Dirawat Sakit Dada

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar selamat menjalani prosedur angioplasty di Pusat Perubatan Gleneagles di Singapura pada 1 September.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata baginda dirujuk supaya mendapatkan rawatan di Singapura pagi Khamis lalu setelah mengadu sakit dada semasa beriadah.

“Keadaan Tuanku waktu ini adalah stabil dan baik. Baginda dibenarkan kembali ke Johor pagi 2 September dan sedang berehat di Istana Pasir Pelangi,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Sultan Ibrahim juga dinasihatkan oleh kumpulan pakar perubatan supaya mendapatkan rehat secukupnya termasuk mengelak daripada melakukan perjalanan jauh.

Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri Johor turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pasukan perubatan baginda di atas perhatian baik mereka terhadap baginda.

“Kerajaan Negeri juga mengajak seluruh rakyat Johor dan Malaysia supaya terus mendoakan agar kesihatan Tuanku segera pulih,” kata beliau. – BERNAMA

Loading...