Sultan Ibrahim Titah MB Baharu Fokus Kepentingan Johor

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah supaya Menteri Besar ke-17 yang baru dilantik mengutamakan kepentingan negeri berbanding diri sendiri atau politik demi kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran ekonomi Johor.

Sultan Ibrahim bertitah, pihak kerajaan janganlah membuang masa dengan banyak bercakap tentang perkara yang tidak berfaedah, menabur fitnah dan mereka cerita hanya untuk menarik perhatian atau mengelirukan rakyat.

Menurut baginda, sebaliknya kerajaan harus menumpukan perhatian untuk membantu kehidupan rakyat yang susah dan meningkatkan kemajuan ekonomi negara.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Dr. Sahruddin Jamal yang telah dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang baharu.

“Saya harap beliau akan dapat memikul tanggungjawab dengan jujur, ikhlas dan amanah serta mengutamakan kepentingan negeri berbanding kepentingan diri atau politik, demi kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran ekonomi negeri Johor,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut mahukan Menteri Besar baharu memberi keutamaan kepada isu pencemaran sungai bagi memastikan sumber air mentah sentiasa bersih dan mampu bertahan untuk jangka masa panjang. – K! ONLINE

Loading...