Sultan Ibrahim Cadang Konsulat China Di Johor

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mencadangkan penubuhan Pejabat Konsulat Jeneral China di negeri ini bagi terus memperkukuhkan hubungan dua hala antara Johor dan republik itu.

Cadangan baginda itu disambut baik Duta Besar China Ke Malaysia, Bai Tian ketika melakukan kunjungan hormat ke atas Sultan Ibrahim di Kelab Polo DiRaja Johor, Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru hari ini.

“Johor kini sedang berkembang pesat dan terdapat juga ramai pekerja daripada China yang bekerja di sini, khususnya di kawasan Johor Bahru dan Iskandar Puteri terutama dalam sektor pembinaan.

“Johor juga menjadi tumpuan utama pelancong daripada China. Jika diwujudkan sebuah pejabat konsulat di sini, maka ia memudahkan mereka jika berdepan dengan sebarang masalah untuk membuat rujukan segera tanpa perlu ke Pejabat Duta Besar China di Kuala Lumpur,” titah baginda seperti dimuat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

Laman Facebook itu melaporkan, dalam pertemuan selama hampir 30 minit bersama baginda, Bai Tian memaklumkan beliau akan mengemukakan cadangan itu kepada pemimpin kerajaan China di Beijing dalam tempoh terdekat.

Pada masa sama, Bai Tian turut memuji ketokohan baginda dalam memajukan serta membangunkan Johor sehingga dikenali ramai di pentas dunia, malah negeri ini turut menjadi antara tumpuan penting pelabur dari China.

“Saya juga memandang tinggi terhadap ketegasan Sultan Johor yang sentiasa mahukan rakyat di negeri ini bersatu-padu tanpa mengira agama atau bangsa,” kata Bai Tian. -MYNEWSHUB.CC