Sultan Brunei Agih Duit Raya B$1,000 Tanpa Cop Jari!

BANDAR SERI BEGAWAN – Jika di Malaysia kecoh kisah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang ‘mewajibkan’ tangan kanak-kanak dicop setelah menerima duit raya sebanyak RM5.

Cerita pelik tapi lucu itu ditularkan bekas Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Anina Saadudin menerusi media sosial hingga jadi bahan jenaka netizen seolah-olah jari pengundi dicelup dakwat macam pilihan raya umum.

Ia segera dinafikan Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd. Fisol Jaafar dan mendakwa konon cop berimej kartun pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Alor Setar itu cuma bagi menceriakan hampir 6,000 kanak-kanak yang hadir.

Itu cerita di utara Semenanjung Malaysia, namun lain pula hal di Brunei apabila Sultan Hassanal Bolkiah berkenan menerima kunjungan puluhan ribu kanak-kanak tanpa tangan mereka dicop bagi elak sengaja datang sekali lagi.

Baca: PM Bazir Duit Rakyat Anjurkan Majlis Rumah Terbuka

Juga: Brunei Nafi Sultan Hassanal Bolkiah Sokong Mahathir

Sebaliknya, dalam keadaan kedudukan kewangan kerajaan Brunei turut dikawal agak ketat sejak tahun lepas ekoran kejatuhan harga minyak mentah global, Sultan Brunei tetap lagi ‘murah hati’ memberikan si cilik dengan duit raya.

Waima tidak didedah secara terbuka, ada kalangan pengguna media sosial di negara kecil Borneo itu melaporkan setiap kanak-kanak menerima B$1,000 (kira-kira RM2,650) dan dianggap sebagai sedekah oleh baginda sendiri.

Angka berkenaan jelas tidak berubah sejak beberapa tahun lepas apabila Sultan Brunei sudi menganjurkan tradisi rumah terbuka di Istana Nurul Iman di sini selama tiga hari berturut-turut bermula hari raya puasa yang pertama.

Acara tahunan yang dirujuk sebagai Majlis Junjung Ziarah Hari Raya Aidilfitri berlangsung meriah dengan ramai rakyat Brunei sanggup beratur panjang seawal pukul 6 pagi meskipun pintu pagar hanya dibuka dua jam kemudian.

Baca: Sultan Brunei Wajib Murid Solat Jemaah Di Sekolah

Juga: Banyak Negara Tak Cuti Krismas Tapi Brunei Dihentam

Untuk tahun ini, media tempatan melaporkan seramai 110,828 orang telah berkunjung ke istana baginda sepanjang tiga hari tersebut untuk bersalaman sendiri dengan Sultan Hassanal Bolkiah dan barisan anggota kerabat diraja.

Mereka yang hadir ceria dengan lengkap berpakaian kebangsaan tidak melepaskan peluang mengucapkan selamat hari raya kepada Sultan Brunei dan keluarga baginda sebelum menjamu selera di kawasan ditetapkan pihak istana.

Selain menerima sampul berisi duit raya, setiap pengunjung turut menerima sekeping kad ucapan hari raya eksklusif yang ditandatangani sendiri oleh Sultan Hassanal Bolkiah dan cenderamata khas dalam kotak kecil berwarna emas.

Kemeriahan majlis di situ jelas membuktikan kasih rakyat Brunei terhadap baginda amat akrab sambil memupuk semangat patriotisme golongan muda dengan ideologi negara iaitu Melayu Islam Beraja. – Mynewshub.cc/HAA

Loading...