Sukatan Pelajaran Tahun Ini Boleh Dihabiskan

66

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) optimis pihak sekolah mempunyai cukup masa untuk menghabiskan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan dalam takwim persekolahan tahun ini.

Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata KPM akan menyusun semula takwim persekolahan tahun ini selepas sekolah dibuka mulai 24 Jun ini.

“KPM ingin melihat situasi semasa selepas sekolah dibuka terlebih dulu sebelum memuktamadkan takwim yang baharu,” katanya kepada pemberita selepas sidang media khas perkembangan pembukaan semula sekolah di Perdana Putra di sini hari ini.

Jelas Mohd Radzi, pada 24 Jun semua guru sekolah menengah dan rendah akan kembali ke sekolah untuk melaksanakan pembelajaran dalam talian.

“Dengan kembali ke sekolah guru boleh menggunakan pelbagai kemudahan seperti kemudahan Internet, mesin fotostat dan mesin mencetak,” katanya.

Selain pembelajaran dalam talian, tambah beliau, guru boleh menyediakan bahan pembelajaran dan latihan mingguan secara bercetak di sekolah sebelum meminta ibu bapa pelajar untuk mengambil bahan itu di sekolah.


Mengenai kapasiti murid di dalam sebuah kelas beliau menegaskan apa yang penting ialah jarak sosial mesti diutamakan dengan meja disusun pada jarak satu meter.

Mengulas mengenai penggunaan pelitup separuh muka dalam kalangan pelajar di sekolah, beliau berkata tiada halangan bagi ibu bapa untuk membekalkan alat pelindungan itu kepada anak mereka.

“Dalam garis panduan Kementerian Pendidikan kita sebut guru akan beri pelitup separuh muka bila pelajar ada di sekolah dan ada gejala, dalam konteks ini guru akan bekalkan pelitup separuh muka,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mohd Radzi berkata Kementerian Pengangkutan sedang memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) untuk bas sekolah bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid terpelihara.