Sukarelawan APM Didakwa Bunuh Kanak-Kanak

KLANG – Seorang sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan membunuh seorang kanak-kanak perempuan, bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohd Sazry Mohd Taha, 36, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad ‘Azzam Zainal Abidin.

Mengikut pertuduhan, Mohd Sazry, 36, didakwa menyebabkan kematian Zahira Sofea Ahmad Mu’iiz, 4, di Kampung Sungai Udang, dekat sini.

Perbuatan itu dilakukan antara jam 1 petang pada 28 September lalu hingga jam 1 petang keesokannya.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman bunuh.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Abd Raoff manakala tertuduh diwakili peguam G Khirranyadan M Kuhanraj.

Muhammad ‘Azzam menetapkan 9 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Awal bulan ini, BH melaporkan sepasang suami isteri ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes kematian seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang berada bawah jagaan mereka.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli dilaporkan berkata, bedah siasat terhadap mayat mangsa meninggal dunia mendapati ia berpunca akibat kecederaan pada abdomen daripada hentakan objek tumpul. – BH Online

Loading...