Sukan Para Asia 2018 Berakhir, Hangzhou Tuan Rumah 2022

JAKARTA – Sukan Para Asia 2018 ditutup penuh meriah malam ini, yang selama lapan hari menampilkan aksi luar biasa atlet paralimpik dari 43 negara peserta.

Indonesia membuktikan kecekalan dan keupayaan luar biasa mereka dalam penganjuran temasya itu tatkala beberapa wilayahnya seperti di Lombok, Sulawesi dan Situbondo Jawa Timur mengalami musibah bencana alam.

Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla merasmikan penutupan temasya penuh warna-warni itu di Stadium Madya, Kompleks Sukan Gelora Bung Karno, yang turut dihadiri ribuan penonton.

Pada majlis penutup itu, Gabenor Jakarta, Anies Baswedan menyerahkan bendera kejohanan kepada Presiden Majlis Paralimpik Asia, Majid Rashed yang kemudian menyerahkannya kepada Naib Gabenor yang juga Pengerusi Persekutuan Orang Kurang Upaya Hangzhou, Wang Hong.

Hangzhou, China akan menjadi tuan rumah Sukan Para Asia pada 2022.

China muncul juara keseluruhan pada Sukan Para Asia 2018 dengan meraih 171 pingat emas, 88 perak dan 59 gangsa.

Tuan rumah Indonesia, di tempat kelima, melepasi sasaran 16 pingat emas, dengan meraih 37 emas, 47 perak dan 51 gangsa.

Malaysia yang menghantar 110 atlet lelaki dan 29 wanita, menyertai 15 daripada 18 jenis sukan yang dipertandingkan menawarkan 568 pingat emas itu.

Di kedudukan kelapan, Malaysia meraih 17 emas, 26 perak dan 24 gangsa, melepasi sasaran 15 pingat emas yang ditetapkan dalam temasya yang dirasmikan Presiden Indonesia Joko Widodo pada 6 Okt lepas.

Lebih membanggakan, dua atlet Malaysia, Abdul Latif Romly dan Mohamad Ridzuan Puzi yang mencatatkan dua rekod baharu dunia, masing-masing dalam acara lompat Jauh T20 (7.64 m) dan acara lari 100M T36 (11.87 s). – BERNAMA

Loading...