Suhakam Bimbang Ancaman Ganas Terhadap Dong Zong

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bimbang dengan ancaman keganasan terhadap Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) kerana hak kebebasan berhimpun dan kebebasan bersuara adalah dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Menerusi satu kenyataan media semalam, Suhakam menyifatkan tindakan kerajaan menafikan hak Dong Zong dengan membatalkan persidangan mereka melalui injunksi mahkamah dilihat sebagai sesuatu yang serius.

Menurutnya, tindakan pihak berkuasa yang tunduk kepada mereka yang mencetuskan keganasan dibimbangi boleh menyebabkan pencabulan hak asasi rakyat di negara ini.

“Suhakam percaya persidangan Dong Zong termasuk tunjuk perasaan oleh penentang Dong Zong seharusnya dibenarkan, namun pihak berkuasa perlu memastikan kedua-dua kumpulan dapat menjalankan aktiviti mereka dengan selamat bagi memenuhi hak kebebasan berhimpun dan bersuara,” katanya.

Selain itu Suhakam turut berharap polis membuat siasatan terhadap ancaman keganasan kerana ia boleh menjurus kepada tercetusnya kebencian, rusuhan serta mengancam kedaulatan undang-undang di negara ini. – Sinar Harian

Loading...