Suhakam Bidas Serbuan Terhadap Pengikut Syiah

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) melahirkan kebimbangan berkenaan serbuan terhadap pengikut Syiah di Gombak baru-baru ini yang turut melibatkan tangkapan kanak-kanak.

Suhakam dalam satu kenyataan berkata, hak untuk mengamalkan apa-apa agama termaktub di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dan ia perlu dinikmati oleh semua tanpa bimbang dikenakan tindakan.

“Pada tahun 2005, ‘Amman Message’ yang secara khususnya mengiktiraf kesahan pelbagai amalan agama Islam sebagai tambahan kepada dua teras yang memfokuskan kepada pemeliharaan keharmonian dalam Islam telah ditandatangani oleh 200 cendekiawan Islam, ketua-ketua negara, ahli-ahli akademik dah pemimpin politik di seluruh dunia termasuk kelulusan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Kita tidak boleh mengakui bahawa kita sebenar-benarnya merupakan negara yang mempunyai pelbagai kebudayaan melainkan pihak berkuasa, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil menghormati dan bertolak ansur amalan agama setiap individu.

“Suhakam berharap agar tali persaudaraan dan belas kasihan akan menjadi dasar yang menjadi asas pengukuhan masyarakat, bukan naluri yang memberi reaksi kebencian dan layanan buruk terhadap orang lain kerana perbezaan mereka,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, katanya, Suhakam bersedia menjadi pemudah cara dan berharap kerajaan mengambil tindakan adil dan langkah-langkah membina ke arah menyediakan hak yang saksama kepada semua kumpulan agama di Malaysia.

Pada Sabtu lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan serbuan markas syiah dan menahan 21 pengikut ajaran sesat itu bersama ketuanya, Kamil Zuhairi Abdul Azizi.

Serbuan itu melibatkan 25 pegawai JAIS terhadap mereka yang disiasat di bawah undang-undang syariah kerana penentangan fatwa dan amalan syiah. – Sinar Harian