Sudah 2020 Tapi Masih Mentaliti Kelas Ketiga

KUALA LUMPUR – Sambutan ambang tahun baru 2020 awal pagi semalam bukan sahaja meninggalkan seribu kenangan kepada rakyat namun turut meninggalkan sisa sampah yang bertaburan di sepanjang jalan sekitar ibu negara.

Perkara tersebut dikongsi syarikat Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) melalui foto yang memaparkan pelbagai jenis sampah termasuk tin dan botol minuman, plastik serta kotak bersepah di bahu dan tengah laluan jalan raya.

Ia hasil buangan orang ramai yang datang meraikan sambutan tahun baru yang membuktikan mentaliti segelintir rakyat Malaysia masih di takuk yang sama dan teruk walaupun sepatutnya perbuatan ini tidak dilakukan.

Gambar tersebut turut menunjukkan orang ramai yang berada di lokasi seolah-olah tidak ambil peduli sampah yang berlonggok di tepi jalan malah kenderaan yang melaluinya dilihat melanggar sisa buangan itu.

“Jumlah sampah dikutip di kawasan tumpuan selepas ambang tahun baru di Kuala Lumpur berjumlah 9 tan iaitu di KLCC mencecah sampah 4 tan manakala di Bukit Bintang dan Dataran merdeka kedua-duanya berjumlah 2.5 tan.

“10 unit jentera dan 100 pekerja diperlukan bagi melakukan misi pembersihan sempena ambang tahun baru,” kata Alam Flora.

Perkongsian Alam Flora itu tular di media sosial dan rata-rata pelayar Facebook berang dengan keadaan yang menjijikkan itu dan menyifatkan individu yang membuang sampah merata-rata sebagai orang tidak bertamadun.

Hal ini mendapat perhatian netizen dan rata-rata netizen juga mengecam sikap tidak bertanggungjawab tersebut.

“Tamadun ke macam ini. Perangai masing-masing makin mundur. Bab sampah pun gagal ada hati nak bina negara wawasan,” tulis Ummul Syabinar di Facebook.

Nurfarah Mazarina pula memberitahu, “Kalau ya pun pembuangan sampah merata ini angkara orang asing, rakyat Malaysia yang ada di sana tak mau tolong kutip sampah dan buang ke tong sampah.

“Janganlah buat-buat buta. Bukan tiada tong sampah disediakan. Tak guna tunding jari walhal benda mudah begini boleh dibuat,” tulisnya. – Sinar Harian

Loading...