Sudah 100 Tahun, Nenek Tetap Nak Mengundi

MESKIPUN umur sudah menjangkau 100 tahun, seorang nenek masih lagi bersemangat untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 ini di Endau, Mersing.

Lapor Berita Harian, Mariam Zakaria yang merupakan pengundi tertua dalam kerusi Parlimen Mersing dan tertua di Johor namun mengalami masalah penglihatan dan penyakit semput.

Pun begitu, kesakitan yang dialami bukan jadi penghalang buat nenek yang tinggal di Kapung Hubong, untuk mengundi kali ini. Selagi masih hidup dan mampu melaksanakan tanggungjawab, Mariam akan turun mengundi.

“Walaupun saya tidak mampu lagi melihat dengan jelas, tanggungjawab untuk mengundi kali ini tidak akan saya lepaskan, saya berharap ada pihak yang sudi membantu saya ke pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan Pusat Air Tawar, Endau nanti,” katanya.

Hidupnya bergantung kepada tiga orang anak dan beberap orang cucu selain hasil kelapa sawit dan bantuan dari pihak kerajaan.

“PRU kali ini tentu banyak beza PRU terdahulu kerana saya difahamkan berlaku pertembungan tiga penjuru yang dijangka sengit di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau dan Parlimen Mersing,” ujarnya.

Terdahulu, hanya tiga kali Mariam tidak dapat mengundi disebabkan masalah kesihatan dan penglihatannya yang sangat teruk sepanjang 13 kali PRU.

Walaupun keadaanya sudah uzur, semangatnya untuk turun mengundi dianggap sebagai tanggungjawab yang besar dalam memilih pemimpin negara. – MYNEWSHUB.CC/MIZE

*Video sekadar hiasan…

Loading...