Suami Isteri Hidap Kanser, Sakit Kronik Rayu Bantuan

ALOR SETAR – Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, demikianlah kehidupan sebuah keluarga di Taman Tunku Yaacob di sini, yang kini terpaksa bergantung pada ihsan jiran tetangga bagi meneruskan kehidupan selepas satu-satunya pencari nafkah keluarga Sumardy Mohemed, 42 disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat pada April lalu.

Sumardy berkata kehidupannya bersama isteri, Mazlina Omar, 41 dan empat anak mula terjejas sejak tiga tahun lalu apabila Mazlina menghidap penyakit saraf yang memaksanya berhenti kerja sebagai kerani di sebuah bank.

“Selepas itu, saya menanggung keluarga dengan berniaga kad prabayar serta baju kemeja di pasar pagi di sekitar Alor Setar. Namun sejak disahkan menghidap kanser limfoma, saya tidak dapat keluar berniaga sekerap dulu kerana badan menjadi tidak bermaya selepas menjalani kemoterapi,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Menurutnya jika sebelum ini dia mampu memperoleh sekitar RM1,200 sebulan kini pendapatannya sekitar RM500 dan RM600, sekali gus menyukarkannya menanggung perbelanjaan keluarga serta persekolahan anak-anak yang berusia empat hingga 16 tahun.

Sementara itu, Mazlina berkata akibat penyakit yang dideritainya, pergerakannya terbatas selain tidak mampu memegang mahupun mengangkat barang.

“Saya bersyukur anak-anaknya sangat memahami kehidupan pada ketika ini dan banyak membantu menguruskan bapa mereka dan saya sendiri dengan mengemas serta memasak terutama anak sulung berusia 16 tahun apabila pulang dari sekolah,” katanya.

Sementara itu, nasib keluarga tersebut mendapat perhatian Pengasas Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang berkata pihaknya akan menyumbang pakaian seragam sekolah kepada tiga anak pasangan tersebut menerusi Projek Kembali ke Sekolah CSM.

Menerusi program itu anak-anak pesakit kanser akan menerima set pakaian sekolah lengkap serta beg dan alat tulis bernilai RM100, katanya menambah tahun ini seramai 100 pelajar terpilih dalam program itu.

Orang ramai yang ingin membantu Sumardy boleh menghubunginya di talian 010-3186615 atau menghulurkan sumbangan terus ke akaun Maybank miliknya (152170157593). – BERNAMA

Loading...