Suami Isteri Ditahan Berhubung Kes Budak Lelaki Maut Di Ampang

SHAH ALAM – Polis menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan kes seorang budak lelaki berusia tiga tahun yang meninggal dunia di sebuah hospital di Ampang pada Khamis lepas, dipercayai akibat didera.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata tangkapan dibuat ke atas lelaki berusia 31 tahun dan isterinya berusia 20 tahun tersebut di Hospital Kajang kira-kira 11 pagi tadi.

“Suspek ditangkap ketika melawat isterinya yang baru selesai bersalin. Sebelum itu pada awal pagi, isteri suspek tersebut telah melahirkan seorang bayi lelaki di sebuah homestay di kawasan Hulu Langat, namun terpaksa dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut.

“Pasangan suami isteri ini akan ditahan reman esok, manakala bayi mereka akan diuruskan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa dipercayai dibawa oleh ibu kandung dan bapa tirinya ke jabatan kecemasan hospital berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri, kira-kira 12 tengah hari, Khamis lepas.

Pasangan suami isteri itu menghilangkan diri dengan sebuah motosikal sejurus menghantar mangsa.

Pakar perubatan di hospital berkenaan kemudian mengesahkan kanak-kanak malang itu meninggal dunia dan membuat laporan polis selepas mendapati terdapat beberapa kesan luka dan lebam di badan serta muka mangsa. – BERNAMA

Loading...