‘Style Mannavan’ Iklan Deepavali TNB

KUALA LUMPUR – Iklan Deepavali Tenaga Nasional Berhad tahun ini, ‘Style Mannavan’ (Style Hero) tampil dengan persembahan yang menghiburkan.

Dengan tema kasih sayang kekeluargaan, ia mengisahkan remaja lelaki, Manoharan, yang tersepit antara mahu memenuhi keinginannya sendiri dan kemahuan keluarganya. Namun segalanya berakhir dengan kegembiraan untuk semua.

Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman menyifatkan mesej iklan Deepavali tahun ini disampaikan dalam bentuk hiburan yang cukup indah.

“Tidak kira walau sudah meningkat dewasa atau berubah, ibu bapa kita akan sentiasa menjadi perhatian utama. Tidak rugi mengikut nasihat kerana mereka hanya mahukan yang terbaik untuk kita yang sentiasa inginkan restu daripada mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

‘Style Mannavan’ mengisahkan tradisi ibu bapa yang masih menyediakan pakaian baharu untuk anak mereka ketika Deepavali sebagai simbol kasih ibu kepada anaknya dan kebanggaan bapa kerana mampu menyara keluarganya.

Iklan ini bakal disiarkan di seluruh rangkaian televisyen dan saluran Astro bermula 26 Oktober selain AR Instagram, media sosial dan akhbar tempatan.

Anda juga boleh menonton iklan penuh di halaman youtube.com/TENAGAofficial atau menggunakan hashtag #StyleMannavan #StyleHero.

Loading...