SJSI Tamatkan Operasi Selepas 33 Tahun

KUALA LUMPUR – Stesen janaelektrik kitar padu pertama di Asia Tenggara, Stesen Janaelektrik Sultan Ismail (SJSI) di Paka, Terengganu, menamatkan operasinya secara rasmi semalam selepas 33 tahun menyalur bekalan ke Grid Nasional.

Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam kenyataan hari ini berkata, penamatan operasi itu tidak dapat dielakkan berikutan Malaysia dalam proses menggantikan stesen janaelektrik lama yang tidak efisien dengan yang lebih canggih dan mesra alam, sejajar amalan industri bekalan elektrik global masa kini.

Stesen janaelektrik berkapasiti 1,400 megawatt (MW) itu siap dibina pada 1987 dan dibuka secara rasmi pada 1988 oleh Sultan Terengganu ketika itu, Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Ketika itu, SJSI menjadi stesen janaelektrik kitar padu terbesar dunia. Kos pembinaannya sebanyak RM1.5 bilion (RM2.4 bilion berdasarkan kadar semasa).

“Stesen Janaelektrik Sultan Ismail meninggalkan legasi yang besar dalam sejarah TNB. Ia menjadi stesen janaelektrik kitar padu pertama di Asia Tenggara, dan terbesar dibina TNB,” kata Ketua Pegawai Penjanaan TNB, Ir. Roslan Abdul Rahman.

SJSI menjana tenaga elektrik menggunakan gas asli dan minyak, dengan gas asli sebagai bahan api utama. Sebagai pengguna awal gas asli PETRONAS dari loji pemprosesan di Kertih, SJSI turut membantu industri minyak dan gas di negeri itu. Bekalan gas diterima menerusi saluran paip terus dari Kertih, sekali gus mengurangkan kos logistik SJSI.

Sepanjang 33 perkhidmatannya, SJSI sudah memberi impak kepada kehidupan ramai penduduk Paka dan sekitarnya. Ia mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu ketika pembinaannya dan seterusnya ketika beroperasi melalui aktiviti berkaitan penyelenggaraan.

SJSI turut memberi manfaat kepada komuniti setempat melalui program tanggungjawab sosial korporat.

Walaupun sudah menamatkan operasinya, TNB kekal komited untuk berkongsi kemakmuran menerusi pelbagai program tanggungjawab korporat seperti pemuliharaan habitat kelip-kelip di Yak Yah, Kampung Ibok, Kijal; pembinaan kediaman bagi golongan kurang bernasib baik melalui projek Baiti Jannati; dan program dermasiswa My Brighter Future (MyBF) untuk pelajar dari keluarga berpendapatan rendah B40.

SJSI sudah diabadikan dalam bentuk setem pos yang dilancarkan Pos Malaysia pada 4 April 1988.

“Ketika perkhidmatannya, SJSI sudah menghasilkan banyak tenaga kerja mahir yang mendapat manfaat daripada teknologi baharu di stesen itu. Pengetahuan yang diperoleh di SJSI turut dimanfaatkan apabila mereka berkhidmat di stesen janaelektrik lain, termasuk di stesen janaelektrik milik penjana elektrik bebas (IPP),” kata Roslan.

Seramai 250 warga kerja SJSI sudah dihantar secara berperingkat ke stesen-stesen baharu TNB seperti Jimah East Power Sdn Bhd di Port Dickson, Negeri Sembilan dan Southern Power Generation di Pasir Gudang, Johor.

Menjelang hujung perkhidmatannya, hanya unit empat yang masih beroperasi. Unit 1, 2 dan 3 telah ditamatkan operasi sejak 2017.

Stesen janaelektrik milik TNB yang turut menggunakan teknologi kitar padu ialah Stesen Janaelektrik Tuanku Jaafar di Port Dickson dengan dua blok berkapasiti 750MW dan Stesen Janaelektrik Prai di Seberang Perai, berkapasiti 1,071MW.

Loading...