Statut Rom: AG, Menteri Dituntut Letak Jawatan

KUALA LUMPUR – Kira-kira 50 orang berarak dan berhimpun di pintu masuk Parlimen hari ini menuntut Peguam Negara, Tommy Thomas supaya meletakkan jawatan.

Mereka yang mewakili sebanyak 12 NGO itu juga mahu Menteri Luar, Datuk Saifudin Abdullah juga berbuat perkara yang sama kerana isu ratifikasi Statut Rom.

Perarakan itu diketuai oleh Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Razlan Rafii sebelum menyerahkan memorandum itu kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman.

Menurut salah seorang jurucakapnya, kumpulan NGO itu mempertikaikan kenapa ratifikasi Statut Rom yang didakwa ditandatangani Saifuddin tidak mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja.

“Jika Saifudin mendapat nasihat Tommy, siapa mereka berdua untuk membuat keputusan besar tanpa restu Raja-Raja Melayu,” katanya.

Justeru, menurutnya, kesemua NGO terlibat mahu kedua-dua mereka bertanggungjawab dan meletakkan jawatan masing-masing kerana seolah-olah ‘menderhaka’ kepada raja. – MalaysiaGazette