STAFOC, STAGG Tak Diwujudkan Semula – Hamzah

IPOH – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bercadang mewujudkan semula Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pasukan sedia ada dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencukupi untuk menangani isu perjudian, kongsi gelap, jenayah berat dan gangsterisme.

“Buat masa ini kita cukup dengan apa yang ada, maka kita merasakan kumpulan (sedia ada) mampu untuk melakukan (menangani jenayah ) tanpa STAFOC dan sebagainya. 

“Kita tidak perlu mewujudkan lagi, tetapi kalau perlu kita boleh mewujudkannya, tiada peraturan sama ada mesti atau tidak mesti (wujudkan pasukan khas),” katanya selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin KDN di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Hamzah berkata, sasaran KDN adalah setiap tindakan diambil mengikut undang-undang dan berpandukan tugas yang diberikan.

Mengulas perarakan pengebumian anggota kongsi gelap seperti yang tular sebelum ini, beliau berkata pihak yang terbabit sudah diambil tindakan polis.

“Kita ambil tindakan sebaik saja selesai (perarakan) dan siasatan sudah dilakukan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, banduan yang dikenakan tahanan di bawah tiga tahun dan parol akan diletakkan di bawah Perintah Kehadiran Wajib sebagai langkah menangani masalah kesesakan dalam penjara.

“PKW ini sebenarnya sudah ada sejak tahun 1954 cuma dalam akta berkenaan ia hanya tertakluk kepada mereka yang dikenakan hukuman tahanan setahun dan ke bawah.

“Tetapi kali ini kita meminta yang ditahan tiga tahun ke bawah juga boleh dimasukkan dalam PKW,” katanya. – BH Online