Stadium Wembley Bakal Dibeli Jutawan Islam

BAGI penyokong liga Inggeris pasti sudah sedia maklum mengenai stadium inikan? Wembley merupakan salah satu stadium terbesar di dunia dan tempat paling ikonik dalam sukan global.

Stadium bola sepak yang pernah dibina semula antara tahun 2002 hingga 2007 lalu dengan anggaran kos sebanyak AS$1.1 bilion (RM4.3 bilion) itu dilaporkan bakal mempunyai pemilik baharu seorang individu Muslim.

Laporan eksklusif CNN memetik Persatuan Bola Sepak England atau juga disebut FA mengesahkan pihaknya ada menerima tawaran untuk pembelian stadium Wembley namun tidak mendedahkan daripada siapa.

Dalam masa sama, stesen itu mendedahkan tawaran itu dibuat Shahid Khan iaitu pemilik sebuah pasukan liga bola sepak kebangsaan (NFL) di Amerika Syarikat (AS), Jacksonville Jaguar di Florida.

Berasal dari Punjab, Pakistan, lelaki Muslim yang menjadi warga AS sejak 1991 itu mendedahkan bahawa memang beliau bertanggungjawab atas tawaran bernilai AS$1.4 bilion (RM5.4 bilion) tersebut.

“Saya berasa gembira apabila mengetahui bahawa lembaga pengarah FA ada menerima tawaran kami untuk membeli Stadium Wembley.

“Salah satu daripada manfaat komitmen Jaguars ke London adalah kerjasama kami dengan pihak FA sendiri dan juga Stadium Wembley.

“Sejak beberapa tahun yang lalu, ia menjadi jelas bahawa idea pembelian Stadium Wembley tersebut memberi banyak kebaikan untuk kita semua,” katanya dalam satu kenyataan.

Dengan kekayaan dianggarkan AS$8.7 bilion (RM34.1 bilion) pada tahun lalu, Shahid yang pernah muncul sebagai penghias muka depan majalah perniagaan terkenal Forbes pada 2012, merupakan individu ke-70 terkaya di AS.

Pemilik pasukan Liga Bola Sepak Kebangsaan, Jacksonville Jaguar iaitu Shahid Khan

Tambah Khan, 67, yang berpindah ke AS pada 1967, beliau percaya bahawa wang hasil pembelian itu, pihak FA boleh membangunkan arena bola sepak di England selain pada masa sama memperkuatkan kedudukan Jaguar.

“Sekiranya anda mempunyai peluang untuk menyertai kami dalam salah satu perlawanan, anda akan tahu bahawa Stadium Wembley adalah tempat yang sangat istimewa.

“Sehubungan itu, menjadi satu tanggungjawab untuk mengendalikan Wembley dengan berhati-hati dan menghormati yang patut.

“Pasa masa sama sentiasa menyedari bahawa ia adalah stadium nasional England serta destinasi utama untuk acara hiburan serta sukan utama dunia,” tambah Khan yang turut memiliki kelab Fulham.

Ahli perniagaan itu yang turut mesra disapa sebagai Shad turut mengeluarkan kenyataan menerusi laman web Fulham, meyakinkan peminat bahawa usahanya untuk memiliki Wembley tidak memberi kesan kepada pasukan.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Antarabangsa NFL, Mark Waller melahirkan rasa gembira berhubung perkara berkenaan kerana ia akan meningkatkan imej sekali gus membantu perkembangan bola sepak di luar AS.

“Kami sangat gembira untuk Shad dan Jacksonville. Potensi pembelian Wembley merupakan ‘tanda kuat’ mereka kepada Britain dan visi mereka untuk bantu mengembangkan sukan ini,” katanya dalam satu kenyataan. – MYNEWSHUB.CC/AM

Loading...