SSM Nafi Tidak Boleh Buat Carian Dalam Talian

KECOH pengguna media sosial tempatan apabila ada mengatakan pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menyekat akses bagi carian maklumat syarikat tertentu dalam lamannya.

Usaha itu dilaksanakan bagi halang rakyat mendapatkan info secara umum mengenai syarikat didaftarkan termasuk nama ahli lembaga pengarah, alamat pemilik saham dan sebagainya melibatkan individu yang berprofil tinggi.

Ia susulan kecoh berita beberapa jutawan terkenal dikaitkan sebagai kroni kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) dan rapat dengan Perdana Menteri yang tiba-tiba memperoleh tender pelbagai projek mewah baru-baru ini.

Bagaimanapun hari ini, pihak SSM telah menafikan isu tular carian perkhidmatan profil syarikat yang telah digantung seperti tular dilaporkan oleh beberapa portal berita dalam talian tempatan sejak ‘bocor’ semalam.

“SSM ingin menafikan beberapa artikel tersebut. Untuk menetapkan rekod secara lurus, pihak SSM kini melantik dua penyedia perkhidmatan tempatan yang bernama Raffcomm Sdn. Bhd. dan Big Dataworks Sdn. Bhd.

“Mereka akan membekalkan maklumat korporat syarikat yang berdaftar dengan SSM kepada orang awam. Portal e-info dikendalikan Big Datawork Sdn. Bhd. malah menyediakan perkhidmatannya melalui portal MyData,” katanya.

Justeru ujarnya, profil semua syarikat dan entiti perniagaan di Malaysia masih lagi boleh dibeli orang ramai secara terus dengan bebas melalui portal perkhidmatan disediakan berkenaan dan ia juga tidak pernah digantung.

Sebelum ini netizen gempar apabila tersebar laporan mengatakan ada menerusi laman web SSM dibaca: “Digantung buat sementara sehingga notis masa depan” yang melibatkan butiran modal saham dan nama pemegang saham.

SSM berkata notis yang disebut di dalam artikel berita itu kurang tepat bahkan salah satu penyedia perkhidmatan telah menjelaskan bahawa akses berkenaan hanya menjalani penyelenggaran dan dijangka pulih sekitar Julai ini.

Butiran modal saham dan pemegang saham yang disiar dalam notis itu, ialah produk baharu yang bakal didapati menerusi portal MyData yang sedang diuji untuk siaran portal e-info. – Mynewshub.tv